Tuai Rumah ‘Jambatan’ Penting Hubung Rakyat dan Kerajaan
KANOWIT: Tuai Rumah memainkan peranan penting sebagai jambatan dan penghubung antara rakyat dengan kerajaan, khususnya dalam menyampaikan permasalahan, cadangan serta keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, kerjasama erat antara kepimpinan masyarakat tersebut dan penduduk amat diperlukan bagi memastikan setiap maklumat serta keperluan warga setempat dapat disampaikan kepada pihak kerajaan secara berkesan.
"Sepanjang lebih empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, saya sentiasa memberikan perhatian terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan Ngemah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bagi Naik Taraf Rumah Panjang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) SPS Nanga Tada, Teluk Mulong (Rh. Bulan Nibong) di sini, pada Sabtu.
Anyi turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat serta meneruskan khidmat kepada masyarakat.
Projek berjumlah RM60,000 itu melibatkan kerja menaiktaraf rumah panjang Rh. Bulan, Nanga Tada, Kanowit dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu sebagai agensi pelaksana.
Dalam pada itu, Anyi turut menyentuh mengenai inisiatif insentif pendidikan bagi menggalakkan kecemerlangan generasi muda dan meringankan beban keluarga di kawasan berkenaan.
“Insentif tersebut merangkumi RM300 bagi pelajar yang mencapai 3A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), RM500 bagi pelajar yang melangkah ke peringkat Diploma, serta RM1,000 bagi mereka yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah di universiti.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dan wakil rakyat dalam menggalakkan kecemerlangan pendidikan di samping membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak di kawasan Ngemah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri isteri Anyi, Gelim Utan, Pegawai Tadbir Clinton Jelai yang mewakili Pegawai Daerah Kanowit, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ramba Resang, Penghulu Pree Minggat, Penghulu Lembat Atau, Penghulu Kong Chak Fui dan Kaunselor Mutang Kerani.-EDISI UKAS