Pickleball Betong Terus Diperkasa, Sasar Pembangunan Akar Umbi
BETONG: Sukan pickleball di Bahagian Betong terus diperkasakan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan di peringkat akar umbi menerusi penglibatan lebih meluas komuniti setempat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata perkembangan sukan pickleball di Betong menunjukkan potensi besar untuk terus dikembangkan, khususnya dalam kalangan masyarakat di kampung dan rumah panjang.
Menurut beliau, Persatuan Pickleball Bahagian Betong perlu memperhebatkan usaha mempromosikan sukan berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai penduduk menyertai aktiviti sukan tersebut.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk membangunkan sukan pickleball dari peringkat akar umbi, selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti yang mampu menyokong pembangunan sosial komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Pickleball Jemputan YB Datuk Gerald Rentap Jabu (Edisi Ke-3) di Dewan Masyarakat Kampung Baru Hulu Betong, pada Ahad.
Pertandingan anjuran Persatuan Pickleball Bahagian Betong dengan kerjasama SABERKAS Cawangan Layar, Betong itu berlangsung dari 30 dan 31 Ogos.
Dalam pada itu, Datuk Gerald menyambut baik perancangan persatuan untuk memperluaskan kategori pertandingan pada masa akan datang, termasuk beregu campuran, wanita dan kanak-kanak sekolah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pickleball Bahagian Betong, Mohammad Nizam berkata, edisi kali ini menyaksikan penyertaan 16 pasangan bagi kategori terbuka dan 12 pasangan bagi kategori veteran.
Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga pihak penganjur terpaksa mengehadkan jumlah penyertaan bagi memastikan pertandingan dapat dilaksanakan dengan teratur.
“Pada tahun ini merupakan kali pertama Persatuan Pickleball Bahagian Betong menganjurkan pertandingan ini secara sendiri. Bagi edisi pertama dan kedua, kami bekerjasama dengan Persatuan Pickleball Kuching,” katanya.
Beliau berkata, persatuan turut merancang membuka lebih banyak kategori pada penganjuran tahun hadapan sebagai sebahagian usaha membentuk pembangunan sukan pickleball yang lebih tersusun.
Program pembangunan pickleball di peringkat sekolah juga telah dimulakan sejak tahun lalu bagi memperkenalkan sukan tersebut kepada generasi muda.-EDISI UKAS