29 Usahawan Sarikei Tingkat Kemahiran Pengurusan Kewangan
SARIKEI: Seramai 29 usahawan menyertai Program Asas Perakaunan (Bookkeeping) Bahagian Sarikei yang bertujuan memperkukuh kemahiran pengurusan rekod dan kewangan dalam operasi perniagaan.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan Mutiara Technology Sdn Bhd sebagai pelaksana itu berlangsung selama dua hari, bermula 29 hingga 30 Ogos 2026, di Sarikei Innovation Centre.
Program tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas ‘bookkeeping’, termasuk kaedah merekod dan mengurus transaksi kewangan secara teratur bagi membantu mereka memantau aliran tunai serta membuat perancangan kewangan perniagaan dengan lebih berkesan.
Peserta turut mengikuti sesi praktikal bagi memberi pengalaman secara langsung dalam mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari, di samping memahami kaedah pengurusan rekod kewangan yang lebih teratur dan sistematik dalam operasi perniagaan harian.
Selain itu, program berkenaan turut memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan akaun, selaras dengan agenda transformasi digital negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Pendedahan kepada teknologi ini dapat membantu usahawan mengurus rekod kewangan dengan lebih cekap, membuat keputusan berasaskan data serta meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan.
Penganjuran program ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa usahawan dan komuniti perniagaan melalui peningkatan literasi kewangan, kemahiran praktikal serta penerapan teknologi digital bagi menyokong kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan.-EDISI UKAS