ASAJAYA: Asajaya Berpencak 2026 sempena Pesta Asajaya mendapat sambutan hangat dengan penyertaan sembilan perguruan silat dari Wilayah Samarahan dan Kuching, sekali gus membuktikan minat masyarakat terhadap seni silat sebagai warisan budaya dan sukan.
Kejohanan tersebut menyaksikan penyertaan tujuh perguruan silat daripada Rumpun Silat Sarawak (RSS) Wilayah Samarahan serta dua perguruan jemputan daripada RSS Wilayah Kuching.
Saingan turut berlangsung sengit menerusi lapan kategori yang dipertandingkan melibatkan peserta kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun serta belia berusia 13 hingga 21 tahun.
Antara acara yang dipertandingkan ialah Solo Putera, Solo Puteri, Tempur Putera dan Tempur Puteri bagi kedua-dua kategori umur.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Ahad.
Dalam acara Tempur Putera, Pasukan Banteng Betawi muncul juara dengan hadiah RM300, diikuti Pasukan Selendang Abadi sebagai naib johan (RM200) dan Pasukan Hailam Laut Asajaya di tempat ketiga (RM100).
Pasukan Banteng Betawi turut mengungguli acara Tempur Puteri dengan hadiah RM300, manakala Pasukan Akademi Pewaris 12 Meranek menduduki tempat kedua (RM200) dan Pasukan Selendang Abadi di tempat ketiga (RM100).
Sementara itu, kategori Belia berusia 13 hingga 21 tahun menyaksikan Pasukan Hailam Laut Asajaya muncul juara acara Solo Putera dengan hadiah RM200, diikuti Pasukan Selendang Abadi (RM150) dan Pasukan Makrifat (RM100).
Acara Solo Puteri pula dimenangi Pasukan Hailam Laut Sadong Jaya dengan hadiah RM200, manakala Pasukan Hailam Laut Asajaya dan Pasukan Makrifat masing-masing menduduki tempat kedua (RM150) dan ketiga (RM100).
Pasukan Hailam Laut Sadong Jaya meneruskan kecemerlangan apabila turut menjuarai acara Tempur Putera dengan hadiah RM300, menewaskan Pasukan Hailam Laut Asajaya di tempat kedua (RM200) dan Pasukan Selendang Abadi di tempat ketiga (RM100).
Pasukan berkenaan melengkapkan penguasaan selepas turut menjuarai acara Tempur Puteri dengan hadiah RM300, manakala Pasukan Selendang Abadi muncul naib johan (RM200) dan Pasukan Hailam Laut Asajaya di tempat ketiga (RM100). -EDISI UKAS