Jerebu: JPBNS Nasihat Penganjur Pertimbang Tangguh, Batal Aktiviti
KUCHING: Aktiviti dan acara yang dijadualkan berlangsung ketika situasi jerebu masih belum mencapai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 500 adalah tertakluk kepada pertimbangan pihak penganjur sama ada untuk menangguhkan atau membatalkannya.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sekiranya bacaan IPU mencapai 500 dan pengisytiharan darurat dilaksanakan, semua aktiviti perlu dihentikan berikutan keadaan yang amat berbahaya kepada kesihatan.
“Apabila ia di bawah paras itu, JPBNS akan memberi nasihat sama ada mahu menangguhkan ataupun membatalkan, dan perkara itu kita serahkan kepada penganjur.
“Tetapi apabila sampai 500 dan darurat diisytiharkan, semua aktiviti perlu dihentikan kerana keadaan itu sangat berbahaya,” katanya dalam sidang media berkaitan situasi jerebu di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Isnin.
Datuk Amar Douglas berharap penganjur mengambil kira risiko terhadap kesihatan apabila membuat keputusan untuk meneruskan sesuatu aktiviti dalam keadaan jerebu, khususnya program yang melibatkan warga emas dan golongan rentan.
Ujarnya, kerajaan tidak menimbulkan kesulitan yang tidak perlu kepada sesiapa namun pihak penganjur perlu melihat kemungkinan risiko terhadap kesihatan, terutama melibatkan warga emas, golongan rentan dan sebagainya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery