Misi Pertahan Kejuaraan Bermula, Kontinjen Para Sarawak Berlepas Ke Medan Saingan
KUCHING: Misi Sarawak untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali ke-15 pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 bermula hari ini.
Perlepasan kontinjen dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), pada Selasa menjadi titik mula cabaran atlet Para Sarawak untuk merealisasikan pemburuan 70 pingat emas pada temasya berlangsung dari 5 hingga 10 September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, yang turut hadir menyaksikan perlepasan kontinjen sebelum ini menetapkan sasaran 70 pingat emas dalam usaha mengekalkan dominasi Sarawak pada Para SUKMA kali ini.
Seramai 383 anggota kontinjen Sarawak yang terdiri daripada atlet dan pegawai akan menyertai 10 jenis sukan yang melibatkan keseluruhan 338 acara.
Perlepasan di KIA turut disaksikan ahli keluarga, pegawai dan penyokong yang hadir memberikan sokongan padu kepada atlet sebelum berangkat ke Selangor. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Mohd Hisyam Arif