465 Peserta Semarak Pertandingan Mewarna Pesta Meradong 2026
BINTANGOR: Seramai 465 peserta memeriahkan Pertandingan Mewarna sempena Pesta Meradong 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bintangor, pada Isnin.
Pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, sekali gus menjadi platform mengetengahkan kreativiti, daya imaginasi serta bakat generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran aktiviti seumpama itu memberi peluang kepada golongan muda menyertai aktiviti sihat dan bermanfaat, selain mengembangkan potensi serta keyakinan diri.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pertandingan berkenaan yang dianjurkan sempena Pesta Meradong 2026 di sini.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan peserta berumur 18 tahun ke bawah.
Penyertaan yang memberangsangkan turut mencerminkan sokongan masyarakat terhadap aktiviti berbentuk kekeluargaan dan pembangunan bakat dalam kalangan generasi muda.
Kehadiran ibu bapa serta ahli keluarga peserta turut memeriahkan suasana pertandingan, sekali gus menjadikan program berkenaan sebagai ruang mengeratkan hubungan dan interaksi dalam kalangan masyarakat setempat.
Pertandingan itu merupakan antara pengisian Pesta Meradong 2026 yang menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti komuniti.
Turut hadir ialah Pengerusi Pengelola, Chieng Ming Kiong, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Nassarudin Ibrahim, Pemanca Yii Hee Sieng dan Ahli Majlis MDMJ, Tang Kieh Ming. -EDISI UKAS