SIRIM Pemangkin Syarikat Sarawak Tembusi Pasaran Lebih Besar
KUCHING: Syarikat Sarawak digalak memanfaatkan piawaian dan pensijilan SIRIM sebagai platform untuk menembusi pasaran lebih besar serta merebut peluang bernilai tinggi, khususnya dalam sektor tenaga.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Ibrahim Baki berkata piawaian dan pensijilan penting dalam membantu syarikat tempatan membuktikan tahap kualiti, kebolehpercayaan serta pematuhan kepada pelanggan dan rakan niaga.
Menurut beliau, perkara itu amat relevan ketika industri Sarawak terus berkembang dan semakin terlibat dalam rantaian bekalan serantau serta global.
“Keutamaan Kerajaan Sarawak bukan sahaja untuk mewujudkan peluang industri baharu, tetapi memastikan syarikat tempatan dilengkapi sistem, kemahiran dan keupayaan teknikal yang diperlukan bagi memenuhi kehendak pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada SIRIM Updates & Networking Session 2026 yang berlangsung di Pullman Hotel Kuching, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat potensi besar untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan domestik dan global.
Jelasnya, usaha tersebut memerlukan tumpuan berterusan terhadap keupayaan teknikal, pengurusan kualiti serta keupayaan memenuhi keperluan pelanggan utama.
“Ke hadapan, kita mahu melihat lebih banyak syarikat Sarawak menggunakan piawaian dan pensijilan sebagai satu cara untuk mengakses pasaran yang lebih besar dan peluang bernilai lebih tinggi, khususnya dalam sektor tenaga,” ujarnya.
Pada majlis sama, Datuk Ibrahim turut menyampaikan sijil ISO 29001 Quality Management Systems for Petroleum, Petrochemical and Natural Gas Industries serta sijil di bawah SIRIM Product Certification Scheme kepada penerima yang berjaya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemain industri memanfaatkan kepakaran SIRIM serta sesi libat urus seperti SIRIM Updates & Networking Session bagi memahami keperluan baharu dan memperkukuh bidang keupayaan masing-masing.
Beliau turut berharap pencapaian penerima pensijilan ISO 29001 dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat Sarawak untuk memperkukuh keupayaan dan meneroka peluang baharu dalam pasaran yang lebih luas.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Nik Sazali Nik Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd, Ts. Md Adha Rahmat, Pengarah Bahagian Pengagihan Gas, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Kasvenda Kassim serta tetamu lain.-EDISI UKAS