Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Konsul Jeneral China Di Kuching
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Selasa.
Kunjungan tersebut menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkepentingan bersama, di samping membincangkan usaha memperkukuh hubungan sedia ada.
Pertemuan berkenaan turut mencerminkan hubungan erat antara Sarawak dan China serta komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka potensi kerjasama baharu yang mampu memberi manfaat bersama dalam pelbagai bidang.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datu Lester Matthew, Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED), Ir. Dr Angelia Liew San Chuin serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), Mohamad Lotfi Tuah.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini