Hari Aktif Komuniti Trusan Erat Hubungan Antara Generasi
LAWAS: Semangat kebersamaan mewarnai Hari Aktif Komuniti Trusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 apabila masyarakat pelbagai generasi berhimpun dalam satu program yang menggabungkan elemen kesihatan, kebajikan, riadah dan kemasyarakatan.
Berlangsung di Dewan Masyarakat Trusan, program berkenaan menghimpunkan kanak-kanak, belia, golongan dewasa dan warga emas, sekali gus menyediakan ruang interaksi yang dapat memperkukuh hubungan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong bersama Temenggong Davis Parang serta ketua-ketua kampung dari kawasan Trusan.
Pelbagai pengisian disediakan termasuk aktiviti gotong-royong, saringan kesihatan dan kempen derma darah yang memberi penekanan terhadap aspek kesihatan serta kesejahteraan komuniti.
Penduduk setempat turut berpeluang menikmati perkhidmatan gunting rambut dan servis motosikal secara percuma, selain menyertai aktiviti gubahan bunga serta mendapatkan barangan keperluan menerusi Jualan RAHMAH.
Penyertaan pelbagai jabatan dan agensi termasuk CENTEXS Lawas, PEMADAM Lawas serta Jabatan Penerangan Lawas pula membuka ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat dan mengenali dengan lebih dekat perkhidmatan yang disediakan.
Dalam pada itu, kemeriahan program diserikan dengan pelbagai pertandingan untuk semua peringkat umur termasuk mewarna, bola tampar, Mobile Legends, melastik, tarik tali dan menyumpit.
Gabungan permainan moden dan tradisional itu bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif, malah menjadi medium interaksi antara generasi serta menyemai semangat kerjasama dan kekitaan.
Penganjuran Hari Aktif Komuniti Trusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 sekali gus mencerminkan semangat patriotisme yang diterjemahkan menerusi kebersamaan masyarakat, selain memperkukuh keharmonian dan kesejahteraan komuniti setempat.-EDISI UKAS