MIRI: Miri berpotensi muncul sebagai antara pusat pembangunan bakat pickleball negara dengan melahirkan generasi pemain yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, kedudukan Miri sebagai bandar raya yang menjadi titik permulaan perkembangan pickleball di Sarawak perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan sukan berkenaan, khususnya dalam melahirkan bakat muda.
“Janganlah kita berpuas hati hanya kerana Miri merupakan tempat bermulanya sukan pickleball di Sarawak. Sebaliknya, marilah kita menjadikan Miri sebagai antara pusat yang membentuk masa depan sukan pickleball Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sarawak Junior Open Pickleball Championship (SJOPC) 2.0 2026 di AGM Pickleball Court Miri pada Selasa.
Adam Yii menambah, perkembangan pickleball di Sarawak semakin memberangsangkan menerusi penyediaan gelanggang, penubuhan kelab dan persatuan, penglibatan jurulatih serta penganjuran pertandingan yang membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menceburi sukan berkenaan.
Jelasnya, kejohanan peringkat junior bukan sahaja menjadi platform meningkatkan kemahiran dan pengalaman bertanding, malah memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan, keyakinan serta jati diri pemain muda.
“Apabila kita melabur dalam pembangunan atlet muda, kita bukan sekadar melahirkan ahli sukan, tetapi juga pemimpin masa depan yang memahami disiplin, kerja berpasukan dan cara mengendalikan tekanan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemain muda agar tidak menjadikan kemenangan sebagai satu-satunya ukuran kejayaan, sebaliknya melihat setiap kemenangan dan kekalahan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran untuk memperbaiki kelemahan serta membina ketahanan diri.
Adam Yii berharap momentum pembangunan pickleball di Miri dapat diteruskan sehingga mampu melahirkan pemain yang bergelar juara di peringkat Sarawak dan kebangsaan, seterusnya mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
SJOPC 2.0 2026 anjuran Sarawak Pickleball Association berlangsung dari 31 Ogos hingga 2 September, mempertandingkan kategori Bawah 12, Bawah 15 dan Bawah 18 tahun dengan tema “Dream Big. Play
Strong. Every Player Belongs”.
Turut hadir Presiden Sarawak Pickleball Association, Delima Ibrahim, wakil Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri, Stephanie Wendy Stamford serta Pengerusi AGM Pickle Club, Desmond Sim. -EDISI UKAS