Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak bagi murid Tahun 6 di sekolah-sekolah di wilayah ini buat julung kalinya telah diadakan pada Oktober 2025. Ujian penilaian ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) Sarawak yang telah diadakan bermula Tahun 2020 dan akan menjadi piawaian penilaian rasmi untuk murid Tahun 6. Ujian penilaian ini juga untuk memastikan standard pendidikan di Sarawak terus mencapai piawaian global yang diiktiraf antarabangsa.
UP-DLP Sarawak melibatkan tiga mata pelajaran teras dalam teras kurikulum DLP Sarawak iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Ketiga-tiga subjek ini dibangunkan oleh guru pakar tempatan bagi memastikan ia bersesuaian dengan konteks dan keperluan program. Semua kertas peperiksaan ini melalui proses semakan dan pengesahan teliti oleh Cambridge University Press and Assessment (CUP&A) bagi menjamin pematuhan terhadap piawaian antarabangsa. UP-DLP Sarawak ini juga merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Swinburne Innovation Malaysia (SWIM), Kolej Universiti i-CATS, University of Technology Sarawak (UTS) dan Curtin University Malaysia.
Dalam memastikan UP-DLP Sarawak ini memenuhi aspirasinya, persiapan menyeluruh turut dilaksanakan merangkumi penyediaan garis panduan, penubuhan jawatankuasa pelaksana, penguatkuasaan protokol keselamatan peperiksaan yang ketat, sesi taklimat di peringkat negeri, pendaftaran dalam talian, penyediaan dan tapisan soalan, percetakan, pengedaran, penyeliaan serta proses pemarkahan.
Operasi logistik dan keselamatan turut diberikan perhatian di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, hasil kerjasama kukuh antara agensi, dengan keselamatan pelajar dan integriti peperiksaan diberikan keutamaan. UP-DLP Sarawak juga dilihat sebagai inisiatif awal yang selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dilaksanakan dengan kelulusan KPM, di samping mencerminkan aspirasi Sarawak dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri tanpa menjejaskan keselarasan dengan kerangka pendidikan negara.
Kejayaan pelaksanaan UP-DLP Sarawak turut membuktikan kematangan tadbir urus, keupayaan teknikal serta kesiapsiagaan institusi pendidikan Sarawak dalam mengendalikan penilaian piawai secara tersusun dalam kerangka nasional. MEITD juga mengekalkan kerangka sedia ada juga penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa. Ini memastikan kesinambungan sistem yang telah mantap serta diterima secara umum oleh semua pihak terlibat. Pelaksanaannya perlu terus berada dalam lingkungan kelulusan perundangan KPM.
STEM dan Bahasa Inggeris
UP-DLP Sarawak mula dilaksanakan pada 15 dan 16 Oktober 2025 selepas lima tahun pelaksanaan awalnya menerusi pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dalam penggunaan pengantar Bahasa Inggeris. Tujuan utama Kerajaan Sarawak melaksanakan DLP ini adalah untuk membina asas kukuh dalam Sains dan Matematik sejak awal supaya murid-murid dapat belajar dengan lebih lancar di peringkat menengah dan universiti apabila Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama dan penghantar kepada subjek-subjek ini termasuk Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
Pada tahun 2025, seramai 29,231 calon termasuk 219 calon berkeperluan khas terlibat dalam ujian ini di 1,050 pusat ujian di seluruh Sarawak. Daripada jumlah itu, 28,669 calon adalah dari 1,038 sekolah kerajaan, manakala 562 calon dari 12 sekolah swasta. Manakala, 4,541 petugas terlibat dalam pelaksanaan ujian kali ini, terdiri daripada 152 penyelia kawasan, 3,765 pengawas ujian dan 624 pemeriksa kertas.
Dalam perkembangan sama, KPM telah bersetuju membenarkan subjek STEM yang lebih maju seperti Sains Komputer dan Reka Bentuk diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris bagi pelajar DLP Sarawak bermula tahun 2029. Langkah ini diambil bagi menyokong literasi digital, robotik dan pengaturcaraan komputer dalam kalangan pelajar di peringkat awal sekolah rendah.
Keputusan UP-DLP 2025 telah menunjukkan Bahasa Inggeris mencatat pencapaian tertinggi dengan kadar lulus 90.97 peratus, diikuti Sains pada 84.71 peratus dan Matematik terus menjadi cabaran utama dengan kadar lulus hanya 61.01 peratus, terutama di kawasan luar bandar dan sekolah kurang murid. Menerusi keputusan itu, satu keperluan intervensi segera dan bersasar perlu dilaksanakan memandangkan penguasaan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik amat penting dalam usaha Sarawak melahirkan tenaga mahir dalam bidang STEM menjelang 2030.
Walaupun ujian ini bukan pengganti rasmi peringkat persekutuan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan pada 2021, pelaksanaan DLP di Sarawak sering dilihat sebagai penanda aras diagnostik tempatan serta model rujukan atau kajian kes yang menunjukkan kepentingan pentaksiran berpusat bagi memantau prestasi murid. Sebaliknya UP-DLP ini berfungsi sebagai alat diagnostik untuk mengenal pasti sekolah atau murid yang memerlukan intervensi awal, manakala UPSR dahulu ialah peperiksaan berpusat kebangsaan penamat sekolah rendah. Sementara itu, UP-DLP memberi tumpuan kepada komponen DLP iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik berbanding UPSR yang merangkumi lebih banyak subjek teras.
Tahun lepas, DLP merupakan kumpulan pertama murid-murid Tahun Enam menghadapi ujian ini dan dalam tempoh tiga tahun akan datang, kumpulan pertama ini juga akan berada di Tingkatan Tiga. Atas sebab itu, Kerajaan Sarawak telah memperluaskan DLP ini ke Tingkatan Satu mulai tahun 2026, sebagai langkah strategik Kerajaan Sarawak melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Di peringkat menengah atas iaitu Tingkatan 4 dan 5, subjek sains tulen seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan juga akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.
Sementara itu, KPM bersetuju mewujudkan kembali ujian setara atau lebih dikenali sebagai Matriks Pembelajaran Tahun Empat di peringkat sekolah rendah bagi murid Tahun 4 bermula tahun 2026. Tarikh peperiksaan ini dijadualkan diadakan pada 6 hingga 8 Oktober 2026. Ujian tersebut dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) yang melibatkan empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris Matematik dan Sains. Turut akan dilaksanakan bersama tahun 2026 ialah Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga bagi lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris Matematik, Sains dan Sejarah pada tahun 2027.
PCDS 2030 - Memacu masa depan Sarawak
Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 pada 2021 sebagai langkah mentransformasikan Sarawak. Dalam tempoh itu juga Kerajaan Sarawak berharap dapat memulihkan ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19 selain mencapai menjadi wilayah maju berpendapatan tinggi yang dipacu oleh data dan inovasi menjelang tahun 2030.
Di dalam PCDS 2030, terdapat tujuh pemboleh ubah utama, dengan salah satunya ialah Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan. DLP menyokong pemboleh ubah ini dengan memantau kualiti pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah. Ini memastikan generasi muda Sarawak mempunyai asas akademik yang kukuh untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.
MEITD menyasarkan 60 peratus daripada tenaga kerja masa hadapan Sarawak adalah berasaskan bidang STEM menjelang 2030. Ekonomi Sarawak kini beralih kepada sektor bernilai tinggi seperti ekonomi digital, hidrogen, tenaga hijau, dan teknologi mikrocip (semikonduktor). Sektor-sektor ini memerlukan pekerja yang bukan sahaja mahir dalam sains dan matematik, tetapi juga fasih berbahasa Inggeris untuk bersaing di peringkat global.
Belanjawan Pendidikan Sarawak 2026
Menyedari pentingnya pendidikan dalam PCDS 2030, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM665 juta di bawah Belanjawan Sarawak 2026 untuk memperkasa sektor pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri ini. Pelbagai inisiatif strategik termasuk pendidikan tinggi percuma, pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), bantuan pendidikan serta pembangunan bakat selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan. Ini mengubah sektor pendidikan Sarawak demi kemajuan generasi semasa dan akan datang.
Sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan bagi menampung yuran pengajian dan elaun pelajar tempatan yang layak di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri bermula tahun 2026 menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES). Begitu juga dengan peruntukan RM36 juta bagi pengoperasian Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak dan RM13 juta bagi perancangan kampus baharu Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Bintulu dan Miri.
Program Komputer Riba Percuma sebanyak RM30.5 juta dan Bantuan Baucar Buku sebanyak RM2 juta diperuntukkan dan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2026. Ini membolehkan pelajar tahun pertama Diploma dan Ijazah mendapatkan kelengkapan komputer riba bagi memudahkan pembelajaran dan membantu pelajar memperoleh buku rujukan dan bahan akademik. Turut diteruskan program Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) yang diperuntukkan sebanyak RM8 juta subsidi tambang penerbangan bagi pelajar Sarawak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.
Ujian Penilaian - Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak 2026
Pada tahun 2026, UP-DLP Sarawak akan dilaksanakan pada 15 dan 16 Oktober 2026 melibatkan lebih 3,000 murid Tahun 6 di 1,050 buah sekolah di seluruh negeri. Menjelang tarikh itu, MEITD, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sudah pasti melakukan persiapan yang sewajarnya bagi memastikan keputusan yang lebih cemerlang dapat dicapai berbanding tahun sebelumnya.
Proses semakan dan pemarkahan bagi pelaksanaan UP-DLP bagi murid Tahun Enam akan dilakukan oleh guru dari sekolah lain dan tidak melibatkan guru dari sekolah calon sendiri. Langkah ini diambil bagi memastikan ketelusan dalam proses penilaian yang turut dipantau oleh CaCUPA.
Perancangan yang sistematik dan berkesan perlu bagi memastikan tanggungjawab dan sokongan ibu bapa serta penjaga penting supaya murid-murid Tahun 6 yang akan menghadapi UP-DLP ini lebih bersedia dan berusaha mencapai kejayaan. Di samping itu, peranan pihak sekolah khususnya guru besar, guru termasuk PIBG sangat penting dalam membentuk strategi yang utuh bagi mencapai peratusan lulus meningkat sama ada di peringkat sekolah mahupun negeri sekali gus mencerminkan tahap sebenar murid-murid Tahun Enam.