Datuk Amar Douglas Uggah Tinjau Pameran Syor Persempadanan Pilihan Raya Negeri Sarawak
BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas meninjau Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri Sarawak Kali Ke-7 di Pejabat Daerah Betong pada Rabu.
Hadir bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam dan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu.
Lawatan Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan ini bertujuan mendapatkan gambaran dan maklumat terkini mengenai cadangan perubahan sempadan serta susunan bahagian-bahagian pilihan raya di Sarawak.
Pameran tersebut memberi peluang kepada pengunjung untuk meneliti syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kehadiran Timbalan Premier Sarawak mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap proses kajian semula persempadanan, di samping memastikan kepentingan serta keperluan rakyat negeri ini terus diberi perhatian dalam proses tersebut.
SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri Sarawak bermula 1 hingga 30 September ini.
Untuk rekod, jumlah kawasan pilihan raya negeri bagi Sarawak dicadang ditambah sebanyak 17 bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99. - EDISI UKAS