KUCHING: Tindakan tegas terhadap sindiket pengedaran, penyeludupan dan pengilangan dadah perlu dilaksanakan seiring pendekatan berperikemanusiaan terhadap individu yang mengalami masalah penggunaan bahan atau ketagihan dan memerlukan rawatan serta pemulihan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Pengerusi One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substance Sarawak (OSC MIDS), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan bersepadu dan holistik perlu membezakan dengan jelas antara pihak yang terlibat secara aktif dalam rangkaian jenayah dadah dengan individu yang memerlukan bantuan.
“Terhadap mereka yang mengedar, menyeludup, mengilang atau mengendalikan rangkaian dadah demi keuntungan, kita mesti tegas dan tidak berkompromi. Mereka bukan sahaja melanggar undang-undang, malah merosakkan kehidupan individu, memusnahkan keluarga dan mengancam masa depan masyarakat.
“Kita juga mesti memastikan bahawa ketegasan penguatkuasaan sentiasa disertai pendekatan yang berasaskan bukti, berperikemanusiaan dan memberi ruang kepada mereka yang mengalami ketagihan untuk mendapatkan bantuan serta pulih,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah pada 2 September berhubung pendirian tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap jenayah terancang, jenayah kekerasan dan kegiatan berkaitan dadah, termasuk kemungkinan penggunaan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Dato Sri Fatimah menambah, OSC MIDS menyokong penuh pendirian tegas pihak berkuasa dalam membanteras sindiket pengedaran, penyeludupan dan pengilangan dadah di Sarawak yang disifatkan sebagai ancaman serius terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.
Tegasnya, Sarawak tidak boleh dijadikan tempat bagi mana-mana pihak untuk menjalankan, mengembangkan atau melindungi kegiatan jenayah terancang, khususnya berkaitan dadah.
Dalam soal penggunaan peruntukan undang-undang pula, beliau menghormati bidang kuasa dan pertimbangan pihak berkuasa untuk menentukan peruntukan bersesuaian berdasarkan fakta, bukti serta keadaan setiap kes.
“Prinsip kita adalah jelas: tegas terhadap sindiket, adil dalam penguatkuasaan, prihatin terhadap individu yang mengalami ketagihan, dan menyeluruh dalam pencegahan, rawatan serta pemulihan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan menyeluruh itu bukan sahaja penting untuk memutuskan rangkaian bekalan dan pengedaran dadah, malah bagi mengurangkan permintaan, mencegah ketagihan berulang serta membantu memulihkan kehidupan individu, keluarga dan komuniti yang terjejas.
Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah menyeru semua agensi berkaitan supaya terus memperkukuh kerjasama, perkongsian maklumat dan penyelarasan operasi bagi memastikan tindakan terhadap sindiket dadah dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat, berkesan dan bersepadu.
Pada masa sama, usaha pencegahan, pendidikan, rawatan dan pemulihan perlu terus diperkasa bagi memastikan individu yang terjejas mendapat peluang untuk pulih dan membina semula kehidupan.
OSC MIDS, katanya, akan terus menyokong usaha Kerajaan Sarawak bersama agensi penguatkuasaan, agensi kesihatan, organisasi masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan dalam menangani isu dadah dan substance secara tegas, bersepadu, berasaskan bukti dan berterusan.-EDISI UKAS