Warisan Kenyah Perlu Terus Dipelihara Seiring Kemajuan Sarawak
MIRI: Usaha memelihara budaya Kenyah penting dalam memastikan identiti dan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Sarawak terus terpelihara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata budaya Kenyah merupakan sebahagian daripada identiti Sarawak yang terbentuk daripada kepelbagaian etnik, bahasa, adat dan warisan masyarakatnya.
Beliau berkata, usaha itu semakin penting ketika Sarawak bergerak pantas memperkukuh ekonomi, membangunkan infrastruktur, tenaga baharu, teknologi digital, pendidikan serta sektor bernilai tinggi.
“Kemajuan tidak bermakna kita perlu meninggalkan identiti. Sebaliknya, semakin kita maju, semakin penting untuk kita mengenali siapa diri kita,” katanya ketika merasmikan Malam Kebudayaan: Tarian dan Muzik Tradisional sempena Sarawak Kenyah Cultural Festival (SKCF) 2026 di Pusat Kebudayaan FORUM, Miri pada Selasa.
Ujarnya, SKCF bukan hanya untuk masyarakat Kenyah, tetapi turut menyumbang kepada usaha memelihara identiti budaya negeri.
Dalam hal ini, Datuk Gerawat berkata, generasi muda perlu diberi peluang mempelajari bahasa, adat, muzik, tarian dan sejarah masyarakat mereka, terutama secara langsung daripada pemegang ilmu agar warisan tersebut tidak hilang apabila generasi terdahulu semakin berusia.
Pada masa sama, beliau menggalakkan penggunaan teknologi dan media sosial untuk mendokumentasi serta memperkenalkan budaya Kenyah melalui video, filem, animasi, muzik dan kandungan digital, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk membawa warisan masyarakat mereka kepada khalayak lebih luas.
Datuk Gerawat berharap SKCF dapat berkembang daripada sebuah festival kepada gerakan kebudayaan yang berterusan bagi memastikan warisan Kenyah terus hidup dan diwarisi generasi akan datang.
Hadir sama Ahli Parlimen Baram merangkap Penaung PKKS Dato Anyi Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Presiden PKKS merangkap Pengerusi Pengelola SKCF 2026, Kaunselor Romulus Charles Agan Raja serta Ketua Masyarakat Kenyah Miri, Temenggong Joseph Ngau Lian.- EDISI UKAS