MIRI: Bahagian Miri mempergiatkan persediaan program dan produk pelancongan bagi tahun 2027 dengan memberi penekanan kepada penyelarasan kalendar acara serta penglibatan semua daerah dan pihak berkepentingan.
Timbalan Residen Bahagian Miri, Norlila Ulis berkata Miri mempunyai banyak produk pelancongan yang berpotensi untuk diperkenalkan dan dipromosikan dengan lebih meluas.
“Semua daerah digalakkan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan bagi mendapatkan cadangan program untuk tahun hadapan, sekali gus membolehkan persediaan dan promosi dilakukan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kumpulan Pelancongan Bahagian Miri (Divisional Tourism Task Group-DTTG) di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Rabu.
Menurutnya, kemas kini kalendar pelancongan turut penting bagi memastikan program yang bakal dilaksanakan dapat dimasukkan dan diselaraskan di peringkat bahagian.
Dalam mesyuarat itu, Timbalan Residen turut diberi taklimat oleh wakil agensi berkaitan mengenai perkembangan sektor pelancongan, program yang dirancang bagi 2027 serta usaha meningkatkan kemudahan dan akses pelawat ke Bahagian Miri.
Mesyuarat turut membincangkan perkara berkaitan Harta Intelek (IP) dan Petunjuk Geografi (GI) serta keperluan menyampaikan maklumat mengenainya kepada persatuan dan NGO berkaitan oleh Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dr Elena Gregoria Chai Chin Fern.
Dr Elena Chai turut mencadangkan supaya penjenamaan kuda laut sebagai antara identiti Miri diperkasakan, selain menggalakkan pihak berkepentingan mengetengahkan produk pelancongan yang berpotensi untuk dipromosikan.
Antara perkembangan lain yang dikongsikan ialah cadangan perkhidmatan bas menghubungkan Lapangan Terbang Brunei dan Miri yang dijangka bermula Oktober, serta pelaksanaan secara percubaan kemudahan kod QR di Kompleks Imigresen Sungai Tujoh bagi membantu melancarkan pergerakan pelawat.
Taklimat turut disampaikan oleh wakil Pustaka Negeri Sarawak Miri serta Pejabat Daerah Beluru, Marudi, Subis dan Telang Usan mengenai program dan acara yang telah serta bakal dilaksanakan di kawasan masing-masing.
Norlila dalam ucapan penutupnya menghargai perkongsian daripada agensi berkaitan dan pejabat-pejabat daerah mengenai program serta perkembangan terkini sektor pelancongan.
Beliau berharap penyelarasan dan usaha bersama semua pihak itu akan terus merancakkan sektor pelancongan di Bahagian Miri. - EDISI UKAS