Tuai Rumah Digesa Proaktif Salur Isu Penduduk Luar Bandar
PAKAN: Peranan tuai rumah sebagai pemimpin komuniti terus menjadi tunjang penting dalam memastikan kebajikan penduduk luar bandar sentiasa terbela serta setiap isu yang timbul dapat disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
Penasihat Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata tuai rumah bukan sahaja berfungsi sebagai ketua masyarakat, malah perlu bertindak proaktif dalam menangani permasalahan penduduk termasuk menyalurkan aduan serta memberikan penjelasan tepat terhadap sebarang maklumat tidak benar.
Menurut beliau, keprihatinan dan sikap proaktif amat penting bagi memastikan setiap isu yang dihadapi penduduk tidak terpinggir, selain membantu menangkis tohmahan yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Tuai-tuai rumah harus lebih prihatin kepada penduduk di bawah jagaan mereka dan menyalurkan isu-isu yang dibangkitkan kepada pihak berkuasa agar dapat diambil tindakan.
“Pada masa yang sama, mereka perlu proaktif untuk menangkis tohmahan terhadap isu-isu yang tidak benar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Empati Idai, Nanga Marau, di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, perubahan pesat dunia masa kini menuntut masyarakat luar bandar supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Dalam perkembangan sama ujarnya, projek RTP yang dilaksanakan di Rumah Empati anak Idai melibatkan kerja-kerja baik pulih bumbung rumah panjang dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
Pelaksanaan projek tersebut memberi manfaat langsung kepada kira-kira 200 penduduk dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pembangunan luar bandar melalui penyediaan serta penambahbaikan infrastruktur, pembangunan sosial dan pengukuhan ekonomi komuniti bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif.
Pada majlis sama, Tan Sri William Mawan turut meraikan Sambutan Ulang Tahun ke-8 penubuhan Biro Wanita Rumah Empati yang aktif menyokong pelaksanaan pelbagai program komuniti setempat.-EDISI UKAS