Ahli Parlimen Betong Adakan ‘walkabout’ tinjau pelaksanaan projek
BETONG: Pendekatan turun padang terus diperkasa bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar berjalan lancar serta memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata sesi ‘walkabout’ yang dilaksanakan secara berkala itu penting sebagai mekanisme pemantauan langsung terhadap kemajuan projek selain menilai isu sebenar di lapangan.
Menurut beliau, lawatan ke Rumah Panjang Kerapa dan Rumah Panjang Gerugu, Spak memberi ruang untuk meninjau sendiri status pelaksanaan projek yang sedang dan telah dilaksanakan.
“Lawatan spontan seperti ini adalah antara aktiviti turun padang yang sering saya lakukan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan dengan baik serta mengikut perancangan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut pada Selasa.
Di Rumah Panjang Kerapa, beliau meninjau projek pembinaan struktur perlindungan cerun yang sedang giat dilaksanakan di bahagian belakang rumah panjang berkenaan.
Projek di bawah peruntukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong itu merangkumi pembinaan struktur penahan tanah runtuh (gabion wall) sepanjang 150 meter, parit konkrit sepanjang 150 meter serta pembinaan dataran konkrit.
Beliau menegaskan, pelaksanaan projek tersebut amat penting dalam mengurangkan risiko hakisan tanah dan runtuhan cerun yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk.
Sebelum itu, beliau turut mengadakan kunjungan ke Rumah Panjang Gerugu bagi meninjau perkembangan projek meratakan tapak baharu rumah panjang yang dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Pendekatan berterusan itu dilihat mampu memastikan setiap projek bukan sahaja disiapkan mengikut jadual, malah memberi impak maksimum kepada kesejahteraan komuniti setempat.
Turut hadir, Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong, Tony Malang Chabu, wakil Tuai Rumah Panjang Kerapa, Jambai Bunsu serta Tuai Rumah Panjang Gerugu, TR Mambu Nyampah.-EDISI UKAS