Residen Samarahan Tinjau Kesiapsiagaan Operasi Tangani Gangguan Bekalan Air
KOTA SAMARAHAN: Kesiapsiagaan operasi bagi menangani gangguan dan kekurangan bekalan air di Bahagian Samarahan terus diperkukuh susulan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda kawasan berkenaan.
Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Samarahan pada Rabu bagi meninjau perkembangan operasi serta penyelarasan bantuan bekalan air kepada penduduk terjejas.
Menurutnya, perhatian diberikan terhadap keperluan bekalan air, perkembangan semasa di kawasan terjejas serta tahap penyelarasan antara agensi bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara teratur dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke PKOD Samarahan di Kota Samarahan pada Rabu, susulan pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Peringkat Bahagian Samarahan.
Lawatan berkenaan turut memberi ruang kepada pihak pengurusan menilai keperluan dan cabaran yang dihadapi petugas di lapangan, khususnya dalam memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera.
Pada masa sama, penyelarasan berterusan antara agensi berkaitan penting bagi memastikan penduduk yang mengalami gangguan atau kekurangan bekalan air menerima bantuan sewajarnya sepanjang tempoh cuaca panas dan kering.
Pemantauan dari semasa ke semasa akan terus dilaksanakan bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas diberi perhatian dan operasi bantuan dapat diselaraskan mengikut keperluan semasa.-EDISI UKAS