Premier Sarawak Ketuai Rombongan Ke ADB Di Manila, Bincang Pembangunan ASEAN Grid
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan ASEAN Grid menerusi perbincangan strategik bersama Asian Development Bank (ADB) di Manila minggu depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau akan mengetuai rombongan ke ADB bagi membincangkan pembangunan ASEAN Grid serta peluang pembangunan di Sarawak dan Malaysia, khususnya di kawasan selatan ASEAN.
“Mereka datang berjumpa saya, dan saya janjikan nanti saya pergi ke Manila dengan satu rombongan untuk kita melihat isu-isu yang strategik dalam kita hendak membangunkan ASEAN Grid dan juga pembangunan yang ada di kawasan Sarawak dan juga Malaysia khasnya di kawasan Selatan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak Ke-27 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.
Menurutnya lagi, Sarawak memainkan peranan seperti yang dikehendaki Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dalam membangunkan ASEAN Grid, khususnya dalam membekalkan tenaga kepada kawasan ASEAN di bahagian Selatan.
Ujarnya, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk melihat peluang pembangunan ekonomi secara serentak di rantau ini.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari secara prinsip menyambut baik cadangan penubuhan Borneo Business Community (BBC) yang merangkumi Kalimantan, Sarawak, Sabah dan Negara Brunei Darussalam.
Jelasnya, penubuhan komuniti tersebut mampu menghimpunkan kekuatan yang ada di Borneo bagi memperluaskan lagi pembangunan ekonomi di rantau berkenaan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir