Persiapan Akhir Boling Padang Sarawak Diperkemas Menjelang Saingan 5 September
KUALA LUMPUR: Meskipun saingan acara boling padang Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 hanya bermula pada 5 September ini, kontinjen Sarawak terus memperkemas persiapan bagi memastikan atlet berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik sebelum turun ke gelanggang pertandingan.
Selepas menjalani latihan intensif di Kuching minggu lalu, barisan atlet boling padang Sarawak meneruskan sesi latihan di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini, hari ini sebagai sebahagian daripada persiapan akhir menjelang saingan.
Sesi berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek teknikal, malah dimanfaatkan atlet untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang, persekitaran serta faktor permainan yang mungkin berbeza berbanding venue latihan di Sarawak.
Penyesuaian terhadap permukaan gelanggang menjadi antara aspek penting dalam sesi latihan berkenaan bagi membolehkan atlet menilai pergerakan bola, mengawal lontaran serta menyesuaikan teknik mengikut keadaan permainan.
Latihan susulan itu turut memberi ruang kepada atlet memperkemas komunikasi dan keserasian, khususnya dalam acara berpasukan, selain mengukuhkan fokus serta kawalan emosi yang menjadi antara elemen penting dalam boling padang.
Keseluruhan barisan atlet yang menjalani latihan menunjukkan komitmen tinggi dan berada dalam keadaan bersedia, sekali gus memberikan gambaran positif terhadap tahap persiapan pasukan menjelang saingan sebenar.
Dengan tempoh persiapan yang semakin singkat, pasukan kini memberi tumpuan kepada penyelarasan akhir bagi memastikan segala aspek teknikal dan strategi berada pada tahap terbaik sebelum pertandingan membuka tirai.
Boling padang menjadi antara cabang yang diberi perhatian kontinjen Sarawak pada Para SUKMA XXII Selangor 2026, dengan sasaran meraih tiga pingat emas daripada keseluruhan 15 pingat yang ditawarkan.
Saingan acara berkenaan dijadual berlangsung mulai 5 September ini dengan atlet Sarawak membawa misi untuk merealisasikan sasaran tersebut menerusi persiapan yang telah disusun sejak awal. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi