Kontraktor Bumiputera Diperkasa, Tingkat Penyertaan Dalam Projek Berskala Besar
KUCHING: Kontraktor dan perusahaan Bumiputera terus diperkasa bagi meningkatkan penyertaan dalam projek pembangunan berskala besar di Sarawak, seiring dengan agenda pembangunan negeri menuju pasca 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah memperkukuh penyertaan Bumiputera itu merupakan susulan kejayaan projek perintis yang dilaksanakan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Dengan adanya kejayaan ini, Kerajaan Sarawak telah memutuskan semua kerja yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak yang besar-besar, 30 peratus mesti diberi kepada Bumiputera.
“Dalam erti kata lain, 30 peratus mesti diperuntukkan kepada perusahaan Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak Ke-27 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, pelaksanaan dasar berkenaan akan memperluas penyertaan perusahaan Bumiputera untuk bergerak seiring dengan kontraktor bukan Bumiputera, khususnya menerusi kerjasama dalam pelaksanaan projek berskala besar.
Beliau menjelaskan, langkah itu juga bertujuan meningkatkan penglibatan perusahaan Bumiputera dalam pembangunan Sarawak yang bakal memasuki fasa lebih besar selepas 2030, termasuk pembangunan di Tanjung Embang.
Ujarnya, kawasan berkenaan bakal dibangunkan dengan pelabuhan laut dalam yang terletak kira-kira lapan kilometer dari tebing sungai serta menjadi lokasi penting bagi pembangunan pelabuhan gas dan aktiviti berkaitan petrokimia.
Tambahnya, pembangunan lapangan terbang baharu turut dirancang tidak jauh dari kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh Sarawak sendiri.
Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Tanjung Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Presiden PKMM Datuk Rosdi Abdul Aziz, Naib Presiden PKMM Dato Ismail Suut serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir