Akademi Bola Sepak Bario Platform Lahirkan Bakat Muda Pedalaman
MIRI: Akademi Bola Sepak Bario terus diperkasa sebagai platform mencungkil dan membimbing bakat bola sepak dalam kalangan generasi muda di kawasan pedalaman menerusi sokongan kemudahan latihan yang lebih baik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berharap usaha berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda dari pedalaman untuk diasah sebelum diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi sumbangan satu set peralatan kejurulatihan kepada Akademi Bola Sepak Bario yang diserahkan wakil beliau, Lucas Kalang Laeng kepada Ketua Jurulatih Akademi Bola Sepak Bario, Bobby Pian di sini pada Rabu.
Lucas berkata, penyediaan peralatan berkenaan dapat membantu akademi melaksanakan latihan secara lebih tersusun, sekali gus menyediakan ruang kepada anak-anak muda Bario untuk mengembangkan potensi dalam sukan bola sepak.
“Kawasan pedalaman Sarawak mempunyai potensi besar untuk melahirkan bakat sukan sekiranya golongan muda diberikan peluang, bimbingan, kemudahan latihan dan sokongan secara berterusan.
“Beberapa individu berlatar belakang pedalaman seperti Bobby Pian, Pingaran Bala, Herman Bulang, Stephen Kiben Tingang dan Wesley Bala yang melalui proses pembangunan bakat sehingga berjaya mencipta nama dalam arena bola sepak,” katanya.
Menurutnya, pencapaian individu berkenaan membuktikan bahawa faktor geografi bukan penghalang kepada bakat dari kawasan pedalaman untuk berkembang sekiranya mendapat bimbingan, kemudahan dan sokongan sewajarnya.
Justeru, Akademi Bola Sepak Bario memainkan peranan penting sebagai platform pembangunan akar umbi dalam mengenal pasti dan membimbing pemain muda berbakat agar berpeluang melangkah ke peringkat lebih tinggi.- EDISI UKAS