Penyertaan Masyarakat Melayu Dalam Karaoke Lagu Iban Cerminkan Keharmonian Sarawak
MERADONG: Penyertaan masyarakat Melayu yang merangkumi hampir separuh daripada 20 peserta Pertandingan Karaoke Lagu Iban sempena Pesta Meradong 2026 mencerminkan keunikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak menerusi penghayatan seni dan budaya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, beliau kagum dan bangga melihat penyertaan masyarakat bukan Iban khususnya golongan muda yang menunjukkan minat terhadap lagu-lagu Iban.
“Ini membuktikan bahawa lagu-lagu Iban semakin menarik perhatian dan mampu menarik minat masyarakat bukan Dayak, terutama sekali di kalangan warga muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Pertandingan Karaoke Lagu Iban sempena Pesta Meradong 2026 di Pentas Utama Tapak Pesta Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, perkembangan tersebut merupakan petanda positif kepada industri muzik Dayak Sarawak yang semakin mampu menghasilkan melodi dan susunan muzik yang memenuhi cita rasa masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Malah jelasnya, sambutan terhadap pertandingan berkenaan turut dapat dilihat menerusi kehadiran penonton daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat Cina yang bersama-sama menyaksikan persembahan nyanyian yang keseluruhannya menggunakan lagu-lagu Iban.
Katanya, aktiviti seni pentas seperti pertandingan karaoke bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan bakat tempatan, malah secara tidak langsung dapat mengukuhkan serta memupuk semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.
Pertandingan anjuran Kelab Tuai-Tuai Rumah Loba Bunut, Semop itu disertai 20 peserta dan disaksikan kira-kira 500 orang.
Bagi kategori lelaki, Lajoel Linggi muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM500, diikuti Muhd Farhan di tempat kedua dengan RM350, manakala Echilis Ansie menduduki tempat ketiga dengan RM200.
Sementara itu, Francella Imelda dinobatkan sebagai juara kategori wanita, diikuti Naney Bujang di tempat kedua dan Norwilma Azira di tempat ketiga.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Datuk Abdullah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Meradong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026, Wee Teck Min dan Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau, Lau Chi Sing. -EDISI UKAS