Potensi Atlet Kenyah Perlu Digilap Ke Pentas SUKMA, Sukan SEA
MIRI: Potensi atlet dalam kalangan masyarakat Kenyah perlu dikenal pasti dan digilap secara berterusan bagi melahirkan lebih ramai bakat yang mampu mewakili Sarawak serta negara di pentas berprestasi tinggi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, masyarakat Kenyah mempunyai potensi besar dalam bidang sukan, khususnya berdasarkan kelebihan fizikal dan daya tahan yang boleh dibangunkan menerusi latihan serta pendedahan sewajarnya.
“Kita tahu masyarakat Kenyah ini tegap dan tahan lasak. Atlet-atlet macam ini yang kita perlukan sebagai ikon kita. Joseph Kalang Tie dan Lucas Kalang sudah menjadi bukti bahawa atlet daripada masyarakat Kenyah begitu berkaliber.
“Kita harap ramai lagi atlet daripada masyarakat Kenyah terlibat dalam SUKMA, Sukan SEA dan Borneo Games,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Bola Sepak sempena Sarawak Kenyah Cultural Festival 2026 di Miri baru-baru ini.
Menurutnya, penganjuran aktiviti sukan seperti pertandingan bola sepak berkenaan bukan sahaja menjadi medan menghimpunkan masyarakat Kenyah dari seluruh Sarawak, malah menyediakan platform kepada generasi muda untuk mengetengahkan bakat dan potensi masing-masing.
Justeru, usaha seumpama itu penting dalam memperluas penyertaan masyarakat Kenyah dalam bidang sukan, sekali gus membuka laluan kepada bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dan Borneo Games.
Pada majlis sama, Datuk Dr Ripin turut mengumumkan peruntukan RM8,000 kepada Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak bagi membantu pelaksanaan program dan aktiviti persatuan.
Turut hadir Presiden Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak, Kaunselor Romulus Charles Agan Raja, Timbalan Presidennya, Leftenan Kolonel Langet Chok serta Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Bola Sepak Sarawak Kenyah Cultural Festival 2026, Ricky Yunus. -EDISI UKAS