263 Pemain Muda Sertai Kejohanan Badminton, Bina Asas Pelapis Sarawak
SIBU: Seramai 263 pemain muda menyertai Kejohanan Badminton Junior Zon Tengah Sarawak Energy, sekali gus mencerminkan minat dan potensi besar terhadap pembangunan sukan itu dalam kalangan generasi muda di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, kejohanan berkenaan penting sebagai platform membina asas badminton negeri, khususnya menerusi pendedahan pertandingan sejak usia muda.
“Jika kita mahu melahirkan pemain badminton yang hebat, asasnya mesti dibina sejak kecil. Kita perlu memastikan mereka mendapat latihan, pengalaman pertandingan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri kejohanan berkenaan di Sekolah Tinggi Katolik, di sini, pada Jumaat.
Chieng turut menyeru pemain junior mencontohi semangat tidak berputus asa legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang sentiasa berusaha meningkatkan prestasi menerusi latihan bersungguh-sungguh.
Katanya, pemain tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian semasa, sebaliknya perlu menetapkan matlamat untuk mewakili Sarawak, negara dan seterusnya bersaing di peringkat antarabangsa.
Kejohanan tiga hari itu menampilkan 16 acara melibatkan kategori B9, B11, B13 dan B15, termasuk acara beregu, dengan jumlah wang hadiah sebanyak RM6,800 ditawarkan.
Pemain yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir berpeluang dipilih mewakili Zon Tengah pada Sarawak Energy Junior Final yang dijadualkan berlangsung di Kuching pada Disember 2026.
Turut hadir pada program itu ialah Presiden SBA Ting Wei Ping dan Adli Ali Akebar yang mewakili Pengurus Wilayah Sarawak Energy Berhad (SEB) Sibu, Jabu Ngumbang.-EDISI UKAS