Boccia Sarawak Sedia Beri Saingan, Fokus Prestasi Tanpa Tekanan Pingat
SELANGOR: Skuad boccia Sarawak bersedia memberi saingan pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pendekatan pengurusan yang mengutamakan prestasi atlet tanpa meletakkan tekanan terhadap sasaran pingat.
Persiapan pasukan memberi tumpuan kepada kebajikan, kesihatan dan kondisi fizikal atlet bagi memastikan mereka berada pada tahap optimum sebelum turun beraksi.
Bagi mengurangkan tekanan mental, pihak pengurusan tidak menetapkan sasaran pingat secara langsung, sebaliknya memberi sasaran secara berperingkat dengan kelayakan ke separuh akhir dan final menjadi keutamaan awal.
Pendekatan itu membolehkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya terhadap setiap perlawanan dan beraksi dengan lebih tenang, sekali gus membuka peluang untuk mencabar kedudukan podium.
Dalam tempoh kem latihan di Kuching sebelum ini, pergerakan dan aktiviti luar atlet turut dikawal susulan keadaan jerebu, selain waktu rehat dipantau bagi memastikan tahap kesihatan mereka tidak terjejas.
Aspek kebajikan dan keselamatan turut diberi perhatian khusus memandangkan sebahagian atlet mempunyai kekangan fizikal serta koordinasi badan yang memerlukan bantuan dalam menjalani rutin harian.
Pasukan berkenaan turut menerima tajaan kemudahan khas termasuk kerusi mandi bagi memudahkan pengurusan harian atlet, meringankan tugas pembantu serta mengurangkan risiko kecederaan di luar gelanggang.
Sepanjang persiapan, program latihan dilaksanakan secara konsisten tanpa memberikan beban keterlaluan kepada atlet, manakala kondisi fizikal mereka turut dipantau rapi oleh pasukan fisioterapi.
Dengan persiapan menyeluruh itu, skuad boccia Sarawak kini berada dalam keadaan bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik dan memberi saingan dalam pemburuan podium Para SUKMA XXII Selangor 2026. -EDISI UKAS