SHAH ALAM: Stadium UiTM Shah Alam bukan lagi sekadar lokasi latihan buat skuad para olahraga Sarawak apabila atlet negeri itu turun menjalani sesi persiapan terakhir di venue yang bakal menjadi medan sebenar perebutan pingat Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026, yang bermula 6 September ini.
Persiapan itu memberi peluang kepada barisan atlet Sarawak menyesuaikan diri secara langsung dengan keadaan trek, ruang pertandingan serta persekitaran stadium yang akan menjadi tumpuan apabila saingan bermula.
Lebih menarik, sesi latihan pada Jumaat itu turut berlangsung bersama beberapa kontinjen negeri lain yang mengambil kesempatan melakukan persiapan di venue sama, sekali gus memberikan gambaran awal terhadap suasana kompetitif yang bakal mewarnai saingan sebenar.
Bagi Sarawak, kehadiran kontinjen lain bukan sekadar memenuhi ruang latihan, sebaliknya menjadi peringatan bahawa setiap detik di trek selepas ini membawa nilai yang berbeza.
Selepas menjalani persiapan sejak beberapa bulan lalu, atlet kini memasuki fasa untuk memperkemas perkara-perkara kecil termasuk keserasian dengan trek, rutin pemanasan badan, teknik serta kawalan emosi sebelum memasuki blok permulaan.
Skuad para olahraga Sarawak hadir ke Selangor dengan reputasi yang perlu dipertahankan selepas mencatat pencapaian membanggakan pada edisi lalu. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi