Tiga Projek RTP 2026 Di Meradong Siap, Tingkat Kemudahan Asas Penduduk
MERADONG: Tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2026 yang melibatkan kerja menaik taraf jalan batu dan jalan tanah kepada jalan konkrit di kawasan Meradong telah siap dilaksanakan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur yang diperlukan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, penyediaan jalan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah memberi keselesaan serta meningkatkan aspek keselamatan kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
“Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan rakyat dan berusaha memastikan kemudahan asas di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan secara berperingkat.
“Setiap projek yang dilaksanakan adalah berdasarkan keperluan setempat supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi wakilnya Wong Soon Mee, ketika lawatan pengesahan siap kerja projek RTP Tahun 2026 di sini pada Jumaat.
Antara projek yang dilawati ialah kerja menaik taraf jalan di Tanah Perkuburan Lotong Meradong, Jalan Lai Hing serta Jalan Sandai Lucy di kawasan Jalan Ulu Strass.
Lawatan tersebut turut disertai Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrak bagi meninjau hasil pelaksanaan projek serta memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat.-EDISI UKAS