400 Pelitup Muka Perkukuh Perlindungan Petugas Operasi Bencana Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 400 keping pelitup muka diagihkan kepada agensi pengurusan bencana di Bahagian Samarahan bagi memperkukuh perlindungan petugas yang menjalankan operasi pemantauan dan penghantaran bantuan ketika keadaan cuaca berjerebu.
Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang berkata, penyediaan pelitup muka itu merupakan antara langkah kesiapsiagaan bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan petugas di lapangan terus diberi perhatian.
Daripada jumlah tersebut, masing-masing 200 keping diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Samarahan untuk kegunaan petugas ketika melaksanakan tugasan di lapangan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyerahan pelitup muka berkenaan di Pejabat Residen Bahagian Samarahan di sini, pada Jumaat.
Pelitup muka tersebut akan digunakan oleh petugas ketika menjalankan pemantauan serta penghantaran bantuan kepada penduduk, khususnya ketika kualiti udara terjejas akibat jerebu.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan keprihatinan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan terhadap keselamatan petugas barisan hadapan bagi memastikan operasi pemantauan dan penyaluran bantuan kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara berterusan.
Pada masa sama, kerjasama serta kesiapsiagaan semua agensi berkaitan penting bagi memastikan pengurusan bencana di Bahagian Samarahan dilaksanakan secara pantas, tersusun dan berkesan dalam menghadapi keadaan cuaca serta persekitaran yang kurang baik. -EDISI UKAS