KMKK Bukit Saban Digesa Proaktif Tangani Isu Kekurangan Air
SPAOH: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Bukit Saban digesa supaya lebih proaktif dalam menangani isu kekurangan bekalan air yang semakin meruncing susulan keadaan kemarau ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerjasama erat antara KMKK dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil, khususnya dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menjelaskan, sesi perjumpaan bersama KMKK diadakan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung situasi bekalan air di kawasan masing-masing.
“Tujuan sesi ini adalah untuk kita bersama-sama mengatur tindakan bagi menangani isu air akibat kemarau, selain memastikan agensi bertanggungjawab bertindak segera apabila menerima permohonan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi perjumpaan bersama KMKK Bukit Saban di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa penduduk yang terjejas boleh memohon bantuan bekalan air botol bersih melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut saluran yang ditetapkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu turut mengingatkan semua pihak agar sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan kemarau berpanjangan yang boleh menjejaskan bekalan air penduduk.
Menurut beliau, maklumat lengkap dan tepat daripada KMKK amat penting bagi memudahkan perancangan bantuan termasuk penentuan lokasi strategik penempatan tong air serta jumlah keluarga terjejas.
Tambahnya, peranan tuai rumah juga signifikan dalam memastikan permohonan bantuan dikemukakan segera demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Turut hadir, Jurutera Air Bahagian Betong Andres Inchatekoster, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Abg. Abdul Rahman, wakil Pegawai Daerah Betong Kato Dorsie serta para KMKK kawasan Bukit Saban.-EDISI UKAS