Lions Club Sarikei Teruskan Legasi 50 Tahun Khidmat Komuniti
SARIKEI: Lions Club of Sarikei diseru agar terus mengekalkan nilai murni yang menjadi tunjang perjuangan sejak lima dekad lalu, selari dengan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah baharu bagi sesi 2026-2027.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata Majlis Pelantikan Lembaga Pengarah ke-50 itu melambangkan satu pencapaian penting dalam sejarah kelab yang telah berbakti kepada masyarakat sejak penubuhannya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, Lions Club of Sarikei berkembang daripada kumpulan kecil individu berdedikasi kepada sebuah organisasi yang memberi impak besar kepada komuniti setempat.
“Kepercayaan bahawa usaha bersama mampu membawa perubahan luar biasa telah mendorong kelab ini untuk terus berkhidmat, sama ada membantu golongan memerlukan, menyokong pesakit, mendidik generasi muda mahupun berdiri bersama keluarga yang menghadapi kesukaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Lembaga Pengarah ke-50 Lions Club of Sarikei yang diadakan di New Fortune Restaurant, Sarikei pada Ahad.
Tambah beliau, kepimpinan baharu perlu berpegang kepada tiga nilai utama iaitu sifat ihsan terhadap masyarakat, komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab serta kecemerlangan dalam setiap tugasan.
Pada majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Lions Club of Sarikei sebagai sokongan terhadap aktiviti dan program yang akan dilaksanakan.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 220 tetamu termasuk Presiden Lions Club Sarikei, Ling Tuong Ping, District Governor Dato Jimmy Tie Hien Hwa serta Pengerusi Penganjur Kapitan Kua Soon Lee.-EDISI UKAS