KUCHING: Kesedaran dan literasi keselamatan digital dalam kalangan masyarakat perlu terus diperkasa bagi membendung ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan berkembang seiring kemajuan teknologi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, masyarakat khususnya pemimpin komuniti perlu memainkan peranan sebagai barisan hadapan dalam menyebarkan kesedaran serta membantu orang ramai mengenal pasti taktik penipuan dalam talian.
“Penjenayah siber ini profesional. Mereka menggunakan psikologi, elemen ketakutan, kesegeraan, dan keserakahan untuk memperdaya mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber di sini pada Khamis.
Beliau menambah, perkembangan pesat teknologi digital menyediakan pelbagai kemudahan dalam kehidupan seharian, namun pada masa sama turut dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab menerusi pelbagai bentuk penipuan dalam talian.
Antaranya jelas beliau termasuk penipuan pelaburan, panggilan palsu menyamar sebagai pihak berkuasa serta tawaran pekerjaan yang tidak wujud.
Dato Sri Fatimah turut menekankan peranan peserta yang terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum, pesara serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ‘social influencers’ dalam komuniti bagi memperluas penyampaian maklumat dan kesedaran mengenai jenayah siber kepada masyarakat setempat.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang ‘terlalu baik untuk menjadi kenyataan’ serta sentiasa berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan kewangan dalam talian.- EDISI UKAS