Penyertaan Limbang LusiRun 2026 Dibuka, Angkat Warisan Etnik Sarawak
LIMBANG: Penyertaan bagi acara larian Limbang LusiRun 2026 kini dibuka, sekali gus menjadi platform menyemarakkan semangat kesukanan, memperkukuh perpaduan serta mempromosikan keunikan warisan etnik Sarawak di Bahagian Limbang.
Acara julung kali anjuran Persatuan Anak Anak Limbang Semenanjung (PAALS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang-Miri (DSLM) itu dinaungi oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Penganjuran ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi program fizikal pertama PAALS di tanah kelahiran mereka selepas sekian lama beroperasi di Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh jaringan antara anak-anak Limbang di perantauan dengan komuniti setempat.
Selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, NGO dan masyarakat, acara ini juga menjadi medium memperkenalkan peranan PAALS dan DSLM dalam menjaga kebajikan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan anak-anak Limbang.
Limbang LusiRun 2026 dianjurkan dengan beberapa objektif utama termasuk memperluas keahlian persatuan, memperkukuh kerjasama strategik pelbagai pihak serta menggalakkan gaya hidup sihat sambil mempromosikan sektor pelancongan tempatan.
Menariknya, acara ini mengetengahkan tema pakaian tradisional etnik Sarawak, di mana peserta digalakkan menampilkan keunikan budaya masing-masing sepanjang larian, sekali gus menambah nilai estetika dan identiti tempatan dalam penganjuran tersebut.
Program ini menawarkan tiga kategori utama iaitu larian 21 kilometer (Half Marathon), 10 kilometer dan 3 kilometer Fun Run/Fun Walk dengan yuran penyertaan bermula RM60 hingga RM120.
Penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai menarik bagi setiap kategori termasuk hadiah utama sehingga RM1,500 bagi kategori 21 kilometer, selain hadiah khas bagi pakaian tema terbaik serta semangat kesukanan.
Acara ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai pengisian sampingan seperti cabutan bertuah, aktiviti komuniti serta persembahan pentas daripada artis terkenal dan kumpulan kebudayaan tempatan.
Limbang LusiRun 2026 dijadual berlangsung pada 7 November 2026 di Lot 777, Bandar Limbang, manakala pendaftaran telah dibuka sejak 13 Julai lalu dan akan ditutup pada 30 September 2026.
Orang ramai termasuk peserta tempatan dan antarabangsa dijemput untuk menyertai acara ini dengan membuat pendaftaran melalui kod QR pada poster rasmi atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman Facebook Persatuan Anak Anak Limbang Semenanjung (PAALS) serta talian urus setia yang disediakan.-EDISI UKAS