Sokongan Berterusan Penting Perkasa Sukan Pickleball Meradong
BINTANGOR : Sokongan dan galakan berterusan penting bagi memperkasa perkembangan sukan pickleball di Daerah Meradong, khususnya dalam usaha mencungkil serta mengembangkan bakat pemain muda.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, beliau bersama ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing akan terus memberikan semangat, sokongan dan galakan kepada Kelab Pickleball Meradong.
Menurutnya, penganjuran pertandingan secara berterusan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membuka peluang kepada pemain muda mengembangkan bakat.
“Penganjuran pertandingan secara berterusan bukan sahaja dapat menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah mampu mencungkil serta mengembangkan bakat pemain-pemain muda di Daerah Meradong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Pickleball Beregu Lelaki sempena Sambutan Pesta Meradong 2026 di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah turut menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan Kelab Pickleball Meradong yang berjaya menarik penyertaan memberangsangkan dalam pelbagai pertandingan sejak penubuhannya.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan penyaluran Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Kelab Pickleball Meradong bagi membantu penganjuran Pertandingan Pickleball sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Datuk Abdullah berharap sokongan berterusan itu dapat melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat serta mempopularkan sukan pickleball dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang, Pengerusi Kelab Pickleball Meradong Ley Chee Hua, penaja kenderaan Chery Edmund Liong serta wakil SABERKAS Cawangan Meradong Abang Husen.-EDISI UKAS