Timbalan Menteri Kesihatan Turun Padang Tinjau Fasiliti Di Dalat
DALAT: Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib meneruskan Jelajah Kesihatan Borneo Sarawak (Siri 4) Bahagian Mukah di Klinik Kesihatan (KK) Nanga Baoh bagi meninjau sendiri keadaan fasiliti kesihatan di lapangan, pada Jumaat.
Perjalanan yang mengambil masa dua jam untuk tiba di klinik kesihatan berkenaan adalah untuk melihat operasi harian serta keadaan perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Seterusnya, rombongan menghadiri sesi taklimat yang membentangkan situasi semasa, cabaran dan keperluan di kawasan tersebut di mana ia menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada sembilan rumah panjang utama, dengan majoriti penduduk terdiri daripada masyarakat Iban.
Dalam taklimat tersebut, operasi harian klinik, keadaan bangunan, kemudahan dan peralatan, keperluan tenaga kerja serta cabaran yang dihadapi petugas turut dibentangkan.
Kuaters Staff Klinik Kesihatan Nanga Baoh adalah lawatan terakhir dalam jelajah tersebut dan ia merupakan lokasi di mana petugas kesihatan ditempatkan.
Hasil lawatan tersebut mendapati beberapa isu memerlukan perhatian dan tindakan pihak berkaitan telah dikenalpasti.
Dalam pada itu, Dato Hanifah turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada KK Nanga Baoh bagi tujuan penambahbaikan aspek infrastruktur dan keselamatan.
Sehubungan itu, lawatan ini memberi tumpuan kepada situasi sebenar perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Secara keseluruhan, lawatan ini jelas menunjukkan masih ada ruang penambahbaikan dari segi tenaga kerja, fasiliti dan sokongan logistik bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di Klinik Nanga Baoh dapat berjalan dengan lebih lancar dan efisien.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam) Dr. Mohammad Nazarudin Bahari, Pakar Perubatan Perunding Kanan Kesihatan Awam Cawangan Pembangunan Kesihatan Keluarga JKN Sarawak Dr. Nur Fatihah Oh Abdullah, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Mohammad Najib Hasan @ Ahmad dan Pegawai Tadbir Residen Bahagian Mukah Mohd Amirul Valentine Laiseh. - EDISI UKAS