Tiga Inisiatif MBKS Tersenarai 29 Finalis Terbaik Anugerah Pembangunan Lestari JCI Malaysia 2026
KUCHING: Tiga inisiatif Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) berjaya tersenarai dalam kelompok 29 finalis terbaik Anugerah Pembangunan Lestari Junior Chamber International (JCI) Malaysia 2026 (JCIM SDA), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan itu dalam menterjemahkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada tindakan di peringkat komuniti.
Menurut Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng , pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa pihak berkuasa tempatan mempunyai peranan penting dalam memacu agenda SDG melalui pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“SDG tidak seharusnya kekal sebagai matlamat antarabangsa yang hanya dibaca, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang dapat dilihat, dirasai dan memberi manfaat kepada masyarakat dalam kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Menurut Dato Wee, sebagai pihak berkuasa tempatan yang paling dekat dengan komuniti, MBKS bertanggungjawab untuk memperjuangkan agenda SDG dan memastikan ia diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif praktikal yang memberi impak kepada penduduk.
Tiga inisiatif MBKS yang terpilih sebagai finalis ialah Kuching Natural Farmers Market: Growing Livelihoods, Cultivating Sustainable Communities di bawah SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), MBKS Smart Pole Initiative: Transforming Public Parks into Smart, Safe and Low-Carbon Communities di bawah SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta Ausome Park: From Inclusive Play to Inclusive Cities – Leaving No One Behind di bawah SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan).
Dato Wee berkata, Kuching Natural Farmers Market menyediakan platform kepada petani tempatan dan pengusaha kecil untuk memasarkan hasil pertanian secara terus kepada komuniti, sekali gus menyokong sumber pendapatan, menggalakkan pertanian mampan dan memperkukuh ekonomi setempat.
Katanya, MBKS Smart Pole Initiative pula memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan keselamatan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan ruang awam, khususnya taman-taman awam, dalam usaha menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar yang lebih pintar, selamat dan rendah karbon.
Sementara itu, ujar beliau, Ausome Park mengetengahkan konsep ruang awam inklusif yang membolehkan kanak-kanak daripada pelbagai keupayaan bermain dan berinteraksi bersama, selaras dengan komitmen MBKS untuk memastikan kemudahan awam dapat diakses dan dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Beliau menambah, peranan MBKS bukan sekadar menyediakan perkhidmatan perbandaran asas seperti penyelenggaraan jalan dan longkang, kutipan sampah serta penguatkuasaan, malah turut berperanan sebagai pemangkin dan pendukung pembangunan mampan.
Menurutnya, kejayaan tersebut turut dikongsi bersama barisan ahli majlis, kakitangan MBKS, rakan komuniti dan penduduk yang sentiasa menyokong serta mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan.
Pengiktirafan tiga inisiatif MBKS dalam kelompok 29 finalis terbaik itu diharap menjadi pemangkin untuk pihaknya meneruskan usaha mengintegrasikan SDG dalam program dan pembangunan bandar, ke arah mewujudkan Kuching Selatan yang lebih inklusif, berdaya tahan, pintar dan mampan.-EDISI UKAS