MBKS Perkukuh Usaha Tangani Banjir Kilat Di Padungan
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus mempergiat usaha menangani isu banjir kilat yang berulang di kawasan pusat bandar khususnya di Jalan Padungan, Jalan Chan Chin Ann dan Jalan Abell.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, MBKS memahami kebimbangan dan kekecewaan penduduk, peniaga serta pengguna jalan raya yang terjejas setiap kali hujan lebat mengakibatkan banjir kilat di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, MBKS tidak memandang ringan isu tersebut sebaliknya terus berusaha dalam bidang kuasa dan sumber yang ada bagi mencari penyelesaian praktikal serta berkesan dalam jangka panjang bagi mengurangkan kesan banjir.
“Kita mendengar kebimbangan orang awam dan melihat sendiri masalah di lapangan. MBKS tidak mengabaikan keadaan ini.
“Kita melakukan yang terbaik dalam tanggungjawab dan sumber yang ada untuk mencari penyelesaian praktikal serta jangka panjang bagi mengurangkan kesan banjir kilat,” katanya selepas meninjau tapak cadangan Projek Kerja Mitigasi Banjir di sepanjang Jalan Padungan dan Jalan Chan Chin Ann pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Dato Wee berkata, usaha menangani banjir di kawasan bandar lama yang telah dibangunkan memerlukan perancangan teliti dan tidak boleh hanya bergantung kepada pembesaran satu-satu sistem saliran.
Katanya, aspek jalan raya, bangunan, laluan pejalan kaki serta utiliti bawah tanah sedia ada perlu diambil kira bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan tidak menimbulkan masalah baharu.
Cadangan projek tersebut melibatkan pembinaan kira-kira 200 meter saliran kotak konkrit bertetulang berukuran 1.2 meter lebar dan 1.2 meter dalam.
Ia turut merangkumi kerja-kerja ukur, pemindahan utiliti sedia ada jika diperlukan, pembaikan semula jalan dan laluan pejalan kaki serta pengurusan trafik dan keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan.
Infrastruktur saliran baharu itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti rangkaian saliran bagi menampung aliran air hujan yang lebih tinggi sekali gus menyediakan sistem saliran yang lebih berkesan dan boleh dipercayai untuk kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, Dato Wee menegaskan cadangan projek tersebut bukan merupakan langkah terakhir MBKS dalam usaha menangani isu banjir di kawasan pentadbirannya.
Beliau berkata, setelah perunding memuktamadkan pelan serta dokumentasi teknikal yang diperlukan bagi projek tersebut, MBKS akan meneruskan proses tender untuk pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.
Beliau turut memohon kerjasama dan pemahaman orang awam serta komuniti perniagaan apabila kerja pembinaan dimulakan kelak kerana beberapa pengaturan trafik sementara dan kesulitan mungkin tidak dapat dielakkan.-EDISI UKAS