51 Taman Rekreasi Dibina Di DUN Senadin Sejak 2020
MIRI: Sebanyak 51 taman rekreasi telah dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin bagi tempoh 2020 hingga 2026, mencerminkan usaha berterusan menyediakan kemudahan riadah yang lebih selesa dan mudah diakses penduduk.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan tersebut turut memberi tumpuan kepada kawasan perumahan bagi membolehkan penduduk beriadah bersama keluarga tanpa perlu pergi jauh.
“Kemudahan seperti taman permainan, buaian dan ruang riadah penting dalam mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih kondusif, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya semasa melakukan lawatan ke tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di sini, pada Jumaat.
Terbaharu, tiga taman rekreasi berskala kecil dibangunkan di kawasan Riam menerusi RTP 2025 dengan keseluruhan kos kira-kira RM300,000.
Tiga projek tersebut masing-masing terletak di Jalan Pinang, dalam kawasan Tadika Riam dan Merry Garden, dan siap sepenuhnya pada 28 Jun 2026 selepas tempoh pelaksanaan dilanjutkan menerusi lanjutan masa (EOT).
Dato Sri Lee berkata, pemeriksaan terhadap kemudahan berkenaan telah dijalankan dan ketiga-tiga projek didapati siap mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Katanya, penyediaan ruang riadah berhampiran kawasan kediaman bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk, malah membantu meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti setempat.- EDISI UKAS