Lapan Usahawan Sarawak Sertai Ekspo Antarabangsa Sabah 2026
KOTA KINABALU: Lapan usahawan Sarawak menyertai Ekspo Antarabangsa Sabah 2026 atau Sabah International Expo 2026 (SIE2026) menerusi Sarawak Pavilion bagi memperluas akses pasaran serta membuka peluang jaringan perniagaan di peringkat serantau.
Penyertaan usahawan itu mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) sebagai platform untuk meningkatkan keterlihatan produk tempatan serta meneroka peluang perdagangan dan perniagaan baharu, khususnya di Sabah dan pasaran Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA).
Antara syarikat dan usahawan Sarawak yang mengambil bahagian ialah RFM Global Corporation Sdn Bhd, Syarikat F.O Farra Orkid, Jom Travel and Tour Sdn Bhd bersama Aroma Lab Sdn Bhd, Beverages Marketing (S) Sdn Bhd, PPES Ternak Sdn Bhd, Koperasi Apong Samarahan Berhad, Sluvi Company dan Bued Contractor.
Penyertaan itu memberi peluang kepada usahawan Sarawak mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan, selain berinteraksi secara langsung dengan bakal pembeli, rakan strategik serta pemain industri dari Sabah, Malaysia dan pasaran antarabangsa.
Penglibatan Sarawak dalam SIE2026 turut mencerminkan usaha berterusan MINTRED dalam memperkasa perusahaan tempatan melalui promosi produk, pengembangan pasaran dan pembinaan jaringan perniagaan.
Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Malcolm Mussen Lamoh turut menghadiri Majlis Pembukaan SIE2026 yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) Datuk Ewon Benedick, di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Jumaat.
SIE2026 yang berlangsung dari 4 hingga 6 September 2026 bertemakan “Sabah – Your Gateway to Global Opportunities” menghimpunkan pemain industri, usahawan serta komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa.-EDISI UKAS