SIBU: Penglibatan golongan muda dalam Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) mampu menjadi wadah penting dalam membentuk generasi berkeyakinan, berdisiplin dan berdaya tahan, selain melengkapkan mereka dengan kemahiran menghadapi situasi kecemasan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pengalaman menerusi aktiviti kesukarelawanan, kerja berpasukan dan latihan kemanusiaan dapat membantu golongan muda membina kemahiran kepimpinan serta daya tahan mental.
“Latihan seperti CPR, pertolongan cemas dan teknik asas menyelamat membolehkan ahli muda memberikan bantuan awal ketika berdepan situasi kecemasan sebelum bantuan profesional tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee ketika merasmikan Konvensyen BSMM Peringkat Negeri Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Datuk Amar Dr Sim menambah, penguasaan kemahiran berkenaan perlu disertai dengan pembentukan nilai keprihatinan, kesanggupan membantu dan rasa hormat terhadap orang lain agar pendidikan golongan muda tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik.
Sehubungan itu, beliau menyeru BSMM Cawangan Sarawak supaya terus memperluas peluang penyertaan belia dalam program pertolongan cemas, kesedaran kesihatan, kesiapsiagaan bencana dan projek kemanusiaan.
“Penglibatan dalam pelbagai aktiviti itu juga memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin, membuat keputusan dan belajar daripada pengalaman sebagai persediaan menjadi pemimpin masa depan.
“Selain itu, pengalaman tersebut penting dalam membentuk individu yang lebih yakin, bertanggungjawab dan berdaya tahan ketika berdepan cabaran,” tambahnya.
Kira-kira 200 kadet muda BSMM dari seluruh Sarawak menyertai konvensyen berkenaan yang turut menjadi platform untuk memperkukuh kemahiran, kepimpinan dan kesiapsiagaan dalam bidang kemanusiaan.-EDISI UKAS