RM114,000 Peruntukan MRP Disalur Kepada 38 JKKK Di Merit
KAPIT: Sebanyak RM114,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 38 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Merit bagi menyokong pengurusan serta keperluan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, peruntukan berkenaan diagihkan secara sama rata bagi membantu JKKK melaksanakan mesyuarat dan perbincangan berkaitan pembangunan serta keperluan komuniti.
“JKKK perlu pastikan pengurusan akaun dilaksanakan mengikut tatakelola kewangan yang betul, termasuk memastikan pemegang akaun tidak mempunyai pertalian keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan peruntukan berkenaan di Rumah Anthony Jiram, Nanga Mujan di sini pada Jumaat.
Menyentuh Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Datuk Liwan berkata, setiap permohonan perlu dikemukakan kepada Pejabat Daerah Kapit untuk dinilai berdasarkan keutamaan dan keperluan.
“Tidak semua JKKK akan menerima peruntukan RTP dalam setahun kerana jumlah peruntukan hanya RM5 juta, sedangkan terdapat lebih 90 rumah panjang di kawasan DUN Belaga.
“Yang menjadi keutamaan akan didahulukan. Kepada yang belum menerima peruntukan, bersabar tetapi jangan tidak memohon,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, isu bekalan air susulan musim kemarau turut diberi perhatian dan telah dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Beliau berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyalurkan bekalan air bersih kepada rumah panjang yang terjejas, khususnya yang masih bergantung pada sistem paip graviti.
Berhubung bekalan tenaga solar menerusi Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES), Datuk Liwan berkata, proses penggantian bateri stesen yang telah melebihi tempoh enam tahun sedang diuruskan.
Menurut beliau, perancangan untuk menyambungkan bekalan elektrik grid ke Nanga Merit turut dibincangkan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geoffrey Kemdawang, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah serta ketua-ketua kaum dan pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS