Belia Perlu Perkukuh Kemahiran Digital Hadapi Transformasi Teknologi
KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu terus memperkukuh penguasaan teknologi dan kemahiran digital bagi memanfaatkan peluang yang tersedia seiring dengan transformasi digital yang semakin pesat.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), tadbir urus digital, transaksi tanpa tunai dan keselamatan digital kini semakin penting dalam kehidupan seharian.
“Usaha merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar perlu terus diperkasakan bagi memastikan masyarakat, khususnya generasi muda, tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam SABERKAS Cawangan Bukit Goram sempena Program Lawatan Ilmiah SABERKAS Cawangan Bukit Goram ke Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sebuah restoran di sini pada Jumaat.
Dalam sesi berkenaan, Datuk Wilson yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang turut berkongsi mengenai perkembangan teknologi dan akses kepada perkhidmatan digital yang boleh dimanfaatkan masyarakat untuk meningkatkan keupayaan, produktiviti serta peluang ekonomi.
Perkongsian tersebut turut memberi pendedahan kepada ahli SABERKAS mengenai kepentingan menguasai kemahiran digital serta memahami peluang dan cabaran seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Majlis berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh interaksi dan mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan SABERKAS Cawangan Bukit Goram dengan pemimpin kerajaan.
Program Lawatan Ilmiah SABERKAS Cawangan Bukit Goram ke MAHA 2026 berlangsung dari 4 hingga 7 September 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.
Turut hadir, ahli-ahli SABERKAS Cawangan Bukit Goram.-EDISI UKAS