Sarawak Raih Dua Anugerah Global AI, Kukuh Kedudukan Dalam Ekosistem AI Antarabangsa
TAIWAN: Sarawak mengukuhkan kedudukan dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI) antarabangsa apabila meraih dua anugerah dalam kategori Dasar Awam dan Pelaburan pada World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA) Global AI Summit 2026 di Taipei, Taiwan, baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha Sarawak dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong pembangunan AI dan transformasi digital, selain memperkukuh keupayaan menarik pelaburan serta memacu inovasi dalam ekosistem AI.
Pada sidang kemuncak bertemakan ‘AI Alive, Beyond the Future’ itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman telah menyampaikan ucaptama mengenai perjalanan Sarawak dalam menterjemahkan aspirasi digital dan AI kepada tindakan yang berteraskan keperluan rakyat.
Beliau berkata, Sarawak kini sedang meneroka bagaimana perkembangan AI global dapat membentuk hala tuju negeri dalam bidang seperti model AI Grid, tokenisasi, keupayaan AI berdaulat serta pembangunan model yang lebih mencerminkan pengetahuan dan keadaan tempatan.
“Kami sedang meneroka bagaimana perkembangan global dapat membentuk hala tuju Sarawak dalam bidang seperti model AI Grid, tokenisasi, keupayaan AI berdaulat serta model yang lebih mencerminkan pengetahuan dan keadaan tempatan,” katanya.
Menurut Dato Sudarnoto, Sarawak kini bergerak daripada visi kepada pelaburan, pelaburan kepada pembangunan keupayaan, keupayaan kepada aplikasi dan semakin beralih daripada penerapan teknologi kepada penciptaan teknologi.
Perkembangan itu turut memberi penekanan kepada pengukuhan bakat, penyelesaian dan inovasi tempatan, sambil Sarawak kekal terbuka kepada kerjasama antarabangsa, penyedia teknologi serta pendekatan sumber terbuka yang bersesuaian
Awal tahun ini, SDEC turut menjadi rakan hab pengasas WITSA Global AI Ecosystem Network (WITSA GAIN), platform yang menghimpunkan komuniti AI bagi memanfaatkan kepakaran global, menyatukan sumber, memperluas inovasi serta membuka peluang rentas sempadan.
Sarawak juga bakal menjadi tuan rumah WITSA Global AI Summit 2027 bersempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2027 di Kuching yanb akan memperkukuh peranan Sarawak sebagai penghubung antara ASEAN dengan komuniti AI global, selain menyediakan ruang untuk mengetengahkan keupayaan digital, inisiatif serta peluang pelaburan Sarawak kepada khalayak antarabangsa.-EDISI UKAS