MIRI: Dua projek menaik taraf jalan di kawasan Riam menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, dengan kualiti kerja terus dipantau sepanjang tempoh waranti.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek menurap semula sebahagian jalan berhampiran Emart Riam bernilai RM150,000 siap pada 9 Mac 2026, lebih awal daripada tarikh asal 22 April 2026.
Menurut beliau, tinjauan susulan dilakukan bagi memastikan keadaan jalan kekal baik selepas beberapa bulan siap, selain memantau sebarang kerosakan sepanjang tempoh waranti 12 bulan.
“Selepas enam bulan, jalan ini masih dalam keadaan sangat baik. Kerja-kerja ini juga mempunyai tempoh waranti selama 12 bulan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek berkenaan, pada Jumaat.
Dalam tinjauan sama, Dato Sri Lee turut meninjau projek Melebar dan Menurap Jalan 88, Jalan Riam Miri bernilai RM250,000 yang siap pada 1 Ogos 2026 berbanding jadual asal 15 Oktober 2026.
Beliau berkata, walaupun kedua-dua projek dapat disiapkan lebih awal, kualiti kerja dan pematuhan terhadap spesifikasi yang ditetapkan perlu terus diberi perhatian.
Menurutnya, pemantauan di lapangan akan diteruskan bagi memastikan kemudahan jalan yang telah dinaik taraf kekal dalam keadaan baik dan memberi manfaat kepada penduduk dan sebarang kerosakan dalam tempoh waranti dapat dibaiki segera oleh kontraktor.- EDISI UKAS