KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pendekatan berasaskan data dalam merangka dasar, program dan penyelesaian isu sosial bagi memastikan perancangan pembangunan negeri lebih tepat serta berkesan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan dasar dan sistem sokongan yang dirangka benar-benar berasaskan keperluan serta bukti yang tepat.
“Sarawak menuju ke hadapan. Sebarang program atau dasar jangka panjang dan pendek perlu berpandukan data yang tepat (data-based) supaya setiap perancangan kerajaan kekal berada di landasan yang betul demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Geran Penyelidikan Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di sini pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Fatimah, Kerajaan Sarawak telah meluluskan penubuhan badan khas penyelidikan di bawah MPS pada Oktober 2025 bagi memberi fokus kepada pelbagai isu sosial di Sarawak.
Katanya, sebanyak RM334,986 peruntukan geran diserahkan pada 2026 bagi membiayai empat kajian jangka pendek, termasuk kajian ‘Sarawak Women in Decision Making in Civil Service’ yang meneliti penglibatan wanita dalam pembuat keputusan bagi perkhidmatan awam Sarawak.
Kajian berkenaan dijangka disiapkan dalam tempoh lima hingga enam bulan dan menggunakan pendekatan statistik bagi membandingkan kedudukan wanita di peringkat pembuat keputusan seperti Pengarah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Residen berbanding 10 tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi tahun 2027 untuk memperluaskan skop penyelidikan sosial meliputi kajian berskala makro dan kualitatif.
Peruntukan itu turut membuka peluang kepada kepakaran institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk membida kajian berskala besar di seluruh negeri, termasuk persediaan menghadapi cabaran Sarawak yang dijangka mencapai status negeri tua menjelang 2028.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Kathreen Lalai Eddie Saga.- EDISI UKAS
Disediakan oleh : Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie