Warisan Sape’ Perlu Diperkasa, Generasi Muda Jadi Pemangkin Kelestarian
MIRI: Kelestarian warisan muzik tradisional Sape’ perlu diperkukuh melalui pendidikan, pendokumentasian dan pemanfaatan teknologi digital bagi memastikan ilmu serta identiti budaya berkenaan terus diwarisi generasi muda.
Perkara itu menjadi fokus Forum ‘Safeguarding and Sustaining Sape’ Heritage in Digital Era’ anjuran Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK) di Pusat Beli Belah Bintang Megamall, Miri, pada Sabtu.
Forum berkenaan menekankan keperluan memperluas pendedahan mengenai Sape’ kepada generasi muda, termasuk melalui aktiviti pendidikan dan kokurikulum, di samping memanfaatkan platform digital untuk memperkenalkan muzik tradisional itu kepada khalayak lebih luas.
Perbincangan turut menekankan kepentingan memastikan komuniti asal mempunyai suara dalam menentukan perkembangan Sape’, khususnya berkaitan pengkomersialan, pelancongan, dokumentasi serta penggunaan teknologi digital.
Moderator forum, Heze’kiah Asim berkata, perkembangan Sape’ melalui muzik moden, persembahan, media sosial dan platform digital membuka peluang baharu untuk mengembangkan penerimaan terhadap alat muzik tradisional tersebut.
“Namun, perkembangan itu perlu bergerak seiring dengan usaha mengekalkan nilai dan identiti asal Sape’ serta memastikan pengetahuan mengenainya terus diwarisi oleh generasi seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dr Elena Chai menekankan kepentingan menjadikan Sape’ lebih mudah diakses dan dikenali generasi muda menerusi pendidikan dan kegiatan kokurikulum.
Menurutnya, usaha tersebut juga berpotensi memperluaskan pengenalan Sape’ ke kawasan di luar Sarawak, sekali gus membuka ruang untuk warisan muzik berkenaan dikenali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Forum itu turut menampilkan Penghulu Augustine Supen Taja, Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak; Lian Selling, pemain Sape’ tradisional; serta Garry Sudom Raymond, pemuzik Sape’ profesional, pendidik muzik, komposer dan pengasas bersama Miri Sape’ Movement.
Perbincangan berkenaan memperlihatkan bahawa kelestarian Sape’ memerlukan pendekatan yang bukan sahaja mengekalkan amalan tradisional, tetapi turut membuka ruang kepada inovasi dan penggunaan teknologi tanpa menghakis identiti warisan yang diwarisi masyarakat asal.—EDISI UKAS