Evolveland International Mural & Art Festival 2026 Perkasa Ekonomi Kreatif, Bakat Tempatan Miri
MIRI: Evolveland International Mural & Art Festival 2026 memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif di Miri dengan menyediakan platform kepada penggiat seni, pengamal budaya, pencipta kreatif dan usahawan tempatan untuk mengetengahkan karya, membina jaringan serta meneroka peluang kolaborasi.
Bertemakan “Beyond Art: Where It All Begins”, festival yang berlangsung di Mercure Miri City Centre sehingga 6 September itu menghimpunkan pelbagai pengisian merangkumi pameran dan pengalaman seni, persembahan kebudayaan serta aktiviti kreatif.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, turut hadir meninjau pameran serta hasil karya yang diketengahkan pada festival berkenaan, pada Jumaat.
Platform berkenaan turut diperluas menerusi So Extra <Origin 2.0> Market yang menghimpunkan komuniti kreatif dan usahawan tempatan, sekali gus memberi ruang kepada karya serta produk kreatif diketengahkan kepada pengunjung.
Kerjasama dengan The Tuyang Initiative pula memberi peluang kepada pengamal budaya tradisional Dayak menampilkan identiti dan warisan mereka, selain membuka ruang kepada kolaborasi kreatif antara elemen tradisional dan kontemporari.
Sementara itu, So Extra Market yang meraikan ulang tahun ketiganya mengetengahkan <Origin 2.0> Market dan pameran seni konseptual yang menampilkan perjalanan, idea serta kreativiti yang membentuk platform tersebut sejak tiga tahun lalu.
Penganjuran festival anjuran Evolveland Berhad dengan kerjasama The Tuyang Initiative dan So Extra Market itu turut menyokong usaha memperkukuh Miri sebagai destinasi pelancongan kreatif dan budaya, di samping membuka ruang lebih luas kepada perkembangan bakat serta aktiviti ekonomi kreatif tempatan.—EDISI UKAS