ADC Perlu Pastikan Usaha Sama Tanah NCR Beri Pulangan Adil
TATAU: Jawatankuasa Pembangunan Kawasan (ADC) perlu memastikan kerjasama usaha sama antara pemilik tanah dan pihak syarikat dilaksanakan secara telus serta memberikan pulangan yang adil kepada komuniti setempat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ADC memainkan peranan penting sebagai wakil pemilik tanah dalam memastikan kepentingan komuniti dilindungi sepanjang pelaksanaan kerjasama berkenaan.
Menurut beliau, setiap wakil ADC perlu melaksanakan amanah dengan penuh integriti, khususnya dalam memastikan agihan pendapatan dibuat berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui.
“Pastikan kerjasama yang dijalankan bersama pihak syarikat benar-benar memberi manfaat kepada penduduk dan semua agihan kepada pemilik tanah dibuat secara adil mengikut perjanjian yang telah ditandatangani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Gundi Chungat, Nanga Biban Kiba, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, kerjasama usaha sama berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu kepada penduduk, khususnya pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang mempunyai tanah di kawasan jauh dari jaringan jalan raya dan tidak dapat diusahakan secara optimum.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ADC supaya memastikan setiap urusan berkaitan usaha sama dilaksanakan secara telus dan tidak menyebabkan pemilik tanah mengalami kerugian atau terpinggir daripada manfaat yang sepatutnya diterima.
Dalam pada itu, Dato Sri John Sikie turut menekankan kepentingan keselamatan elektrik susulan penyediaan kemudahan bekalan elektrik kepada kawasan luar bandar.
Menurutnya, kerja penyambungan elektrik hendaklah dilakukan oleh pihak yang mempunyai lesen sah daripada Sarawak Energy Berhad (SEB), manakala barangan elektrik yang digunakan perlu mempunyai sijil SIRIM.
Sementara itu, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong berkata, kerjasama penduduk Rumah Gundi dan kawasan sekitar sepanjang pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar membantu memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, kerajaan akan terus komited menyediakan kemudahan kepada penduduk bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata, bagi kawasan di Daerah Tatau yang tidak dapat disambungkan kepada bekalan elektrik melalui grid, kerajaan turut menggunakan sistem tenaga solar sebagai alternatif.-EDISI UKAS