Jerebu Jejas Beberapa Acara Utama Pesta Meradong 2026
BINTANGOR: Keadaan jerebu susulan asap kebakaran rentas sempadan menjejaskan perjalanan Pesta Meradong 2026 apabila beberapa acara utama terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan atas pertimbangan kesihatan serta keselamatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata keadaan tersebut menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi sepanjang penganjuran pesta berkenaan pada tahun ini.
Beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah 346 pada 1 September menyebabkan pihak penganjur perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko kepada peserta dan pengunjung.
“Apabila bacaan IPU mencecah 346, beberapa acara utama seperti perarakan tanglung dan kereta berhias terpaksa dibatalkan atas faktor kesihatan dan keselamatan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Meradong 2026 di Bintangor pada Sabtu.
Menurut beliau, acara Powerboat Race turut ditangguhkan susulan keadaan yang tidak mengizinkan, sekali gus memerlukan pihak penganjur membuat penyesuaian terhadap jadual aktiviti yang telah dirancang.
Katanya, keputusan tersebut walaupun tidak dapat dielakkan pastinya memberi kesan kepada kemeriahan pesta khususnya bagi acara yang menjadi antara tarikan dan tumpuan masyarakat.
Beliau bagaimanapun menghargai komitmen semua pihak yang terus memberikan sokongan meskipun berdepan keadaan jerebu yang menjejaskan sebahagian daripada perjalanan program.
Datuk Ding berkata, beliau turut berharap acara yang terpaksa dibatalkan dapat kembali dianjurkan pada masa akan datang apabila keadaan kesihatan dan keselamatan lebih mengizinkan.-EDISI UKAS